Sunday, July 13, 2008

||~MENCARI PEMIMPIN MELAYU~||



MELEWATI usai kemerdekaan seusia lebih 50 tahun (hampir 51 tahun) umat Melayu kini dijengah kemelut mencari pemimpin yang benar-benar memiliki ciri-ciri kepimpinan sejati dalam mewarisi perjuangan Agama, Bangsa dan Negara. Legasi pemerintahan mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed kian dilihat seolah-olah memasung bakat kepimpinan generasi selepas merdeka untuk memacu wadah dan siasah bangsa.

Tidak dinafikan pelbagai landskap pembangunan negara berubah dan bertukar corak mengalami arus kemodenan sejajar dengan negara maju sehingakan mantan Perdana Menteri itu dilabelkan sebagai “Bapa Permodenan Negara” selepas mengambil alih teraju kepimpinan dari Allahyarham Tun Husein Onn yang lebih banyak menekankan persoalan kemuafakatan bangsa dengan gelaran “Bapa Perpaduan”.

Meskipun sebelum itu selepas mengambil alih teraju kepimpinan negara dari “Bapa Kemerdekaan” Alahyarham Tunku Abdul Rahman, Malaysia mula memacu era pembangunan sejagat hasil sentuhan Allahyarham Tun Abdul Razak yang juga di kenali sebagai “Bapa Pembangunan “ namun kepimpinan Perdana Menteri hari ini memperlihatkan situasi kalut dan berserabut.

Keyakinan rakyat untuk berteduh dibawah kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi terhakis sebegitu teruk sekali kesan pilahanraya 8 Mac 2008 apabila bukan sekadar kemantapan kerajaan Barisan Nasional tergugat dan terhakis malahan ia turut mengundang hilang percaya rakyat terhadap hala tuju pimpinannya.

Bukan sekadar kehilangan penguasaan kerusi dua pertiga di Parlimen, tidak juga tumbangnya kerajaan Barisan Nasional di Kedah, Pulau Pinang (negeri yang dipimpin oleh Abdullah Ahmad Badawi selaku Ketua Perhubungan), Perak dan Selangor, malahan Wilayah Perseketuan juga turut terkubur penguasaan Kerajaan Barisan Nasional di Parlimen apabila hanya tiga kerusi di Wilayah tersebut mampu dikembalikan sementara 10 kerusi selebihnya tumbang kepada pakatan parti-parti pembangkang.

Kerajaan PAS terus mempertingkatkan cengkamannya di Kelantan apabila BN yang mampu membawa saingan sebegitu hebat dimusim pilihanraya 2004 dengan hampir-hampir berjaya kembali memerintah negeri tersebut (sekadar kurang dua kerusi sahaja) secara tiba-tiba merudum bagai “ayam berak kapor” hanya mampu memenangi enam kerusi sahaja.

Lebih mengawatkan situasi politik kesan keputusan pilihanraya 2008 apabila kalangan pimpinan dalam gabungan Barisan Nasional seperti Gerakan, MCA dan MIC mula meracau serta menunding jari terhadap pimpinan Abdullah Ahmad Badawi selaku Pengerusi Barisan Nasional serta Dato Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai Pengarah Pilihanraya di mana mereka merasakan kedua-dua pemimpin tersebut gagal dan seharusnya memikul tanggung jawab untuk segera berundur kesan terhakisnya keyakinan rakyat terhadap kerajaan BN.

Saat pembentukan kabinet pula turut mengheret keaiban serta kecelaruan mendadak apabila tiga calon timbalan Menteri yang mahu dilantik oleh Kerajaan Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Tun Razak selaku timbalannya telah mengambil keputusan cukup drastik menolak perlantikan tersebut atas alasan hilang keyakinan dan sebagai protes awal agar menuntut Abdullah dan Najib berundur dari jawatan dalam kerajaan mahupun parti.

Menjadi lebih parah lagi apabila timbul kenyataan secara terbuka oleh pimpinan parti SAPP yang merupakan rakan kongsi dalam Barisan Nasional mahukan agar Abdullah Ahmad Badawi berundur kerana tiada lagi percaya serta yakin atas kemampuannya mentadbir negara.

Kejutan demi kejutan tercetus sejak akhir-akhir ini yang diledakkan oleh kalangan pimpinan samada dari dalam gagasan Barisan Nasional mahupun parti pembangkang melalui pelbagai insiden seperti munculnya Perakuan Bersumpah oleh penulis dilaman webb Raja Petra Kamaruddin serta bekas Pengintip Peribadi Balasundram berhubung misteri kematian wanita dari Mongolia bernama Altanttuya Sharibu secara mengaitkannya dengan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Disaat situasi sebegitu kelam kabut, parti UMNO berhadapan dengan musim pemilihan pelbagai jawatan dari peringkat cawangan, Bahagian membawalah kepada pemilihan pucuk pimpinan Majlis Tertinggi di mana umat Melayu khususnya ahli-ahli Umno harus mencari serta menilai siapakah seharusnya wajar diberi kepercayaan menerajui bahtera UMNO yang semakin robek tiang seri layarnya untuk menghadapi badai ganas gelombang terhakisnya keyakinan rakyat.

Cakap-cakap dan persoalan siapa seharusnya layak dan wajar diberi kesempatan menerajui kepimpinan parti UMNO bukan lagi merupakan persoalan umum malahan rakyat secara amnya mula tertanya-tanya serta ingin tahu tokoh atau pemimpin bagaimana bakal dijadikan pilihan oleh ahli Umno untuk dinobatkan sebagai Presiden UMNO.

MUNGKINKAH TUN DR.MAHATHIR MOHAMED?

Ada pandangan dan pendapat mahukan agar mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir segera dikembalikan untuk memimpin Umno dan negara atas alasan jasa bakti dan legasi peninggalannya membangunkan negara untuk berketerampilan di persada global sukar dinafikan serta gagal disaingi oleh era kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi.

Namun begitu situasi menjadi semakin sukar kerana beliau telahpun mengambil ketetapan mengistiharkan dirinya keluar dari Umno di mana terlalu mustahil parti tersebut boleh memilih orang yang bukan ahli sebagai calon Presiden. Disamping itu meskipun begitu banyak jasa telah ditaburkan olehnya semasa menerajui negara namun mantan Perdana Menteri itu gagal menyediakan pemimpin pelapis hingga mengakibatkan kemelut mencari pemimpin dikalangan ahli Umna semakin sulit jadinya.

Malahan sejak menewaskan Tengku Razaleigh Hamzah sekitar tahun 1987 lalu Tun Dr. Mahathir Mohamed bagaikan menyimpan dendam kesumat untuk menghapuskan sama sekali serta tidak lagi bersedia menjadikan Tengku Razaleigh sebagai alternatif memimpin negara. Sehinggakan disaat inipun beliau dilihat bagai mahu menafikan sama sekali kemampuan bekas Menteri Kewangan Melayu Pertama itu sebagai pemimpin.

WAJARKAH ABDULLAH AHMAD BADAWI ?

Berlandaskan kepada alasan mahu melaksanakan program Peralihan Kuasa, Abdullah Ahmad Badawi disarankan oleh sesetengah pihak agar mengekalkan jawatannya sebagai Presiden Umno dimusim perhimpunan 2008 supaya diberi kesempatan memperbetulkan dan mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Barisan Nasional.

Biarpun semua orang tahu punca kekalahan teruk kerajaan Barisan Nasional pada pilihanraya ke 12 pada 8 Mac lalu berpunca daripada kelemahan serta daifnya anak warisan ulamak itu menerajui kepimpinan negara , masih ada pihak memberi alasan agak tidak wajar beliau meninggalkan jawatan dalam situasi Parti berada sebegitu parah. Kerana itu mereka merasakan dengan mengizinkannya menjadi Presiden Umno sekali lagi mungkin dapat diperbetulkan olehnya setiap kesilapan serta keterlanjurannya agar situasi tempang kembali pulih.

Alangkah daif dan dangkalnya pemikiran sedemikian. Bagaimana mungkin kepincangan yang dilakukan oleh Abdullah Ahmad Badawi mampu diperbetulkan kembali olehnya setelah situasi gawat serta kehancuran kepimpinan begitu terserlah? Malahan melihat dari tindak tanduknya ternyata beliau tetap merasakan setiap kesilapannya samada melebarkan budaya kronisma serta mengkayakan kalangan orang keliling tanpa menghiraukan untung nasib bangsa, agama dan negara bagaikan satu kewajaran.

MUNGKINKAH DATO SERI NAJIB DIBERI KESEMPATAN?

Dengung dan alasan akan tiba masanya Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan teraju pemerintahan parti Umno dan negara kepada Dato, Seri Najib semakin samar dan sukar. Kalaupun ramai berpendapat kemungkinan Dato Seri Najib mampu membawa pembaharuan serta memperbetulkan setiap kesilapan era Abdullah Ahmad Badawi namun kesan ledakan pelbagai pendedahan (meskipun belum dibuktikan bersalah oleh mahkamah) cukup menjadikan persepsi rakyat untuk tidak percaya terhadap kepimpinannya.

Pelbagai tuduhan liar seperti lebih banyak keputusannya dalam pemberian kontrak bernilai ratusan juta dipengaruhi oleh isterinya Rosmah Mansor, gaya dan cara hidup isterinya turut mempamerkan bakal terjelmanya era kepimpinan negara ala rejim Emelda Marcos di Filipina. Disamping itu rakyat merasakan budaya korupsi akan menjadi lebih hebat serta sukar untuk dibenteras.

Mampukah negara memperolehi seorang ketua negara yang diragui oleh dunia luar sebagai bersih dari korupsi serta terpasung dengan persepsi mempunyai kaitan dalam tragedi pembunuhan warga Mongolis bernama Altanttuya Sharibu? Bagaimana dengan beberapa keputusan serba meragukan berhubung pembelian dan kontrak kapal selam Scorpene, Pesawat Shukoi, Bekalan Kapal Peronda Pesisir serta beberapa kontrak lain di Kementerian Pertahanan melibatkan jumlah wang rakyat berpuluh billion ringgit?

Seharusnya rakyat dan ahli Umno menilai secara lebih rasional kesan kekalahan sebegitu teruk Barisan Nasional dimusim pilihanraya 8 Mac 2008 lalu adalah merupakan kegagalan mutlak Dato Seri Najib kerana beliau merupakan Pengarah Pilahanraya yang merupakan teraju utama dalam membuat sebarang keputusan menyangkut persoalan calon dan jentera . Dalam erti kata lain tanggung jawab bersama turut terpikul di bahu warisan Tun Abdul Razak itu untuk tidak dikecualikan dari sebarang hukuman (kalaupun ia difikirkan perlu).

BAGAIMANA DENGAN TAN SRI MAHYUDDIN YASSIN?

Kebobrokkan pemikiran ahli Umno untuk berpegang kepada konsep Hiraki dalam peralihan jawatan juga memungkin parti tersebut bakal mengalami hakisan kepercayaan rakyat serta menjerumuskannya untuk berada dalam situasi tidak lagi relevan sebagai wadah perjuangan Agama , Bangsa dan Negara.

Tidak dinafikan anak tokoh Agama dari Bahagian Pagoh di Johor itu seringkali mempamerkan watak “orang alim” untuk tidak menunding jari terhadap kesilapan serta kepincangan pimpinan negara. Namun begitu saat diberi kepercayaan menerajui negeri sebagai Menteri Besar telah mendedahkan beberapa kepincangan pimpinannya.

Bertanyalah dengan Tun Dr. Mahathir Mohamed apakah rahsia sebenar hingga beliau segera dipindahkan dari jawatan Menteri Besar untuk dibawa ke Kuala Lumpur menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan? Seandainya barisan Exco Kerajaan Negeri Johor benar-benar jujur seharusnya mereka akan bercerita bagaimana keputusan dilakukan melalui pengaruhnya merelakan tercetusnya ratusan ribu ekar tanah rizab Melayu berpindah tangan kepada orang asing.

Bagaimana dengan penjualan tanah sebegitu luas di persekitaran kawasan Pontian untuk diserahkan kepada Singapura sebagai kawasan tadahan air negara tersebut? Bukankah sikap dan keputusan tersebut benar-benar menjadi bagai kata pepatah “Dagang lalu nasi di tanakkan suami dirumah kelaparan, kera dihutan disusukan anak dirumah mati kehausan”.

DAPATKAH TENGKU RAZALEIGH MENJADI PILIHAN?

Veteran Umno yang telah melalui liku – liku politik lebih 48 tahun serta mantan Menteri Kewangan Melayu Pertama sejak negara mencapai kemerdekaan tidak terkecuali dari tersenarai untuk dilihat sebagai calon pemimpin saat umat Melayu berada dalam kemelut mencari pemimpin bagi menerajui parti Umno dan Negara menghadapi badai gelora politik di hari mendatang yang dilihat sebegitu mencabar.

Lebih 17 tahun dirinya terasing dari arus kepimpinan negara sejak tewas di tangan Tun Dr. Mahathir Mohamed melalui pertandingan “Team A dan Team B” bagi jawatan Presiden Umno. Bukan sekadar itu sahaja malahan dirinya turut tersingkir dari menjadi ahli Umno(Baru) dan akhirnya di minta oleh Allahyarham Tunku Abdul Rahman mengetuai parti Semangat 46 setelah Bapa Kemerdekaan tersebut berserta Tun Husein Onn turut diketepikan oleh Dr. Mahathir.

Atas semangat penyatuan bangsa Tengku Razaleigh Hamzah akhirnya membubarkan parti tersebut bagi membolehkan ahli-ahlinya kembali menyertai Umno. Namun begitu dirinya terus terpinggir dan disepikan. Kesan berada dalam situasi demikian sebegitu lama menjadikan sebahagian besar ahli Umno dibawah usia 40 tahun ramai tidak mengenali kemampuan serta kepimpinannya.

Hari ini beliau masih menawarkan dirinya sebagai pimpinan alternatif untuk menyelamatkan bahtera Umno yang semakin kalut dirempuh badai cabaran di lautan cukup bergelora. Dapatkah kehadirannya meraih yakin ahli Umno ? Tidak dinafikan sejarah silamnya sebagai arkitek ekonomi bangsa sebegitu menyerlah hingga terpilih menjadi Pengerusi Bank Dunia, Pengasas Petronas disamping menjadi peneraju Dasar Ekonomi Baru legasi allahyarham Tun Abdul Razak., namun halangan bagi membolehkannya berada di persada politik Umno ternyata begitu sukar kesan halangan melepasi kuota 30 peratus pencalonan dari peringkat Bahagian.

Percaturan politik wang yang ternyata semakin menjadi-jadi apabila terdapatnya usaha membeli pimpinan Umno peringkat Bahagian melalui pemberian kontrak kerajaan bernilai ratusan juta ringgit serta taburan wang dari pemain-pemain politik yang masih berada di anjung kuasa begitu menghimpit serta menyukarkan mantan Pengasas syarikat Pernas dan Bank Bumiputra itu.

Prinsip menolak budaya korupsi dengan pengkayaan kroni mampukah mengamit yakin ahli-ahli Umno peringkat pimpinan Bahagian yang sebegitu lama dilenakan serta didenakkan oleh kalangan pemimpin bergelar Menteri? Biarpun saat menjadi Bendahari, Tengku Razaleigh mampu mengumpul sejumlah RM 2 Billion dalam tabung Umno beserta asset bernilai RM 12 Billion (lihat afadavit bersumpah Anwar Ibrahim dalam saman 100 jutanya terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamed) namun kesukaran meraih sokongan kesan politik wang begitu menyulitkannya.

Bersediakah pemimpin yang masih empok dianjung kuasa untuk merelakan Tengku Razaleigh Hamzah memulangkan kembali kuasa kepada pimpinan akar umbi? Walaupun pada pertengahan bulan Jun 2008 lalu dalam satu pertemuan di kalangan bekas-bekas Menteri Kabinet kerajaan yang dipengerusikan oleh Datuk Abu Hassan Omar terdapat seorang bekas Menteri dari parti MCA menyatakan kerajaan serta penguasaan Barisan Nasional mampu dipertahankan serta dipulihkan kembali seandainya Tengku Razaleigh Hamzah dinobatkan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno namun semua itu tidak mungkin menjadi realiti apabila ahli Umno masih meletakkan kepentingan peribadi mengatsi kepentingan agama bangsa dan negara.

Alahai...... begitu daifnya umat Melayu dalam kemelut pencarian seorang pemimpin yang boleh dijadikan sandaran mengembalikan dan memulihkan semula maruah agama, bangsa dan negara yang sebegitu teruk tercemar untuk kembali berdaulat. Fikir-fikirkanlah.

||~MELAYU KEMBALI TERJAJAH~||

ALANGKAH aibnya apabila kepimpinan Melayu mula dipertikaikan oleh orang lain. Bukan sekadar diragui atau dijengkelkan, malahan sudah ada kelangsungan cukup memalukan kesan tindakan parti gabungan Barisan Nasional atas nama SAPP dari Sabah mencetuskan kenyataan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi sekali gus melambangkan terhakisnya rasa hormat serta tiada lagi daulah bangsa.

Tanggal 14 Julai 2008 harus dilihat sebagai catatan terburuk sejak negara memperolehi kemerdekaan hakiki apabila teraju utama institusi siasah politik yang selama ini didominasikan oleh pemimpin Melayu menghadapi usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat (Parlimen) menyaksikan tragedi paling mengaibkan. Dan hilang sudah daulah kehormatan bangsa.

Kehancuran dominasi pentadbiran yang didominasikan oleh parti Melayu Umno di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor serta terkulainya sepuluh buah kerusi Parlimen bagi Wilayah Persekutuan disamping “ruyupnya” penguasaan dua pertiga di Negeri Sembilan menjadi semakin parah apabila dalam Dewan Rakyat gabungan Barisan Nasional turut merudum kehilangan dua pertiga.

Dalam erti kata lain, pilihanraya ke 12 tanggal 8 Mac 2008 seharusnya dilihat bayang-bayang peristiwa di tahun 1511 di mana empayar kesultanan Melayu hancur serta mencampakkan seluruh umat Melayu terjajah dibawah kuasa asing selama hampir lima ratus tahun bakal berulang.

Jika selama ini kita cuba menafikan realiti kehidupan bangsa Melayu yang terjajah dalam aroma kemerdekaan, namun kesan pilihanraya 8 Mac 2008 adalah bibit-bibit awal bakal “terlingkupnya” daulah Melayu untuk kembali berada dalam cengkaman penjajah.