Sunday, July 13, 2008

||~MELAYU KEMBALI TERJAJAH~||

ALANGKAH aibnya apabila kepimpinan Melayu mula dipertikaikan oleh orang lain. Bukan sekadar diragui atau dijengkelkan, malahan sudah ada kelangsungan cukup memalukan kesan tindakan parti gabungan Barisan Nasional atas nama SAPP dari Sabah mencetuskan kenyataan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi sekali gus melambangkan terhakisnya rasa hormat serta tiada lagi daulah bangsa.

Tanggal 14 Julai 2008 harus dilihat sebagai catatan terburuk sejak negara memperolehi kemerdekaan hakiki apabila teraju utama institusi siasah politik yang selama ini didominasikan oleh pemimpin Melayu menghadapi usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat (Parlimen) menyaksikan tragedi paling mengaibkan. Dan hilang sudah daulah kehormatan bangsa.

Kehancuran dominasi pentadbiran yang didominasikan oleh parti Melayu Umno di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor serta terkulainya sepuluh buah kerusi Parlimen bagi Wilayah Persekutuan disamping “ruyupnya” penguasaan dua pertiga di Negeri Sembilan menjadi semakin parah apabila dalam Dewan Rakyat gabungan Barisan Nasional turut merudum kehilangan dua pertiga.

Dalam erti kata lain, pilihanraya ke 12 tanggal 8 Mac 2008 seharusnya dilihat bayang-bayang peristiwa di tahun 1511 di mana empayar kesultanan Melayu hancur serta mencampakkan seluruh umat Melayu terjajah dibawah kuasa asing selama hampir lima ratus tahun bakal berulang.

Jika selama ini kita cuba menafikan realiti kehidupan bangsa Melayu yang terjajah dalam aroma kemerdekaan, namun kesan pilihanraya 8 Mac 2008 adalah bibit-bibit awal bakal “terlingkupnya” daulah Melayu untuk kembali berada dalam cengkaman penjajah.

No comments: